Kuah Kari Kambing Sedap

Yelah. Kemain merajuk bila kita tanya nak ke tidak resepi kari kambing. Yelah, sebelum ini sudah up, kau nak lagi sekali. Itu pun abang layankan kau. Kau pula tak habis-habis nak berperang dengan macam-macam hal. Contohnya tak mampu beli Noxxa, kemudian kau PM abang kenapa promote barangan USA. Kau cakap mereka jahat.

Habis kau guna FB ini dari negara mana? Lebanon? Haih. Dah, mari kita masak.

Kari ini tidak guna santan atau susu. Kau tanya, memang kau kena marah.

Kari Kambing Sedap.

Bahan-bahannya ialah:

5kg kambing yang dipotong dadu (campur daging dan tulang).

20 biji kentang

350gm serbuk kari daging – jenama apapun boleh. Abang malas nak sebut jenama dah. Karang ada sahaja yang kata gitu gini.

5 biji bawang besar dihiris halus

3 inci halia diketuk atau dihiris pun boleh.

3 inci halia diketuk (untuk periuk tekanan)

3 batang kayu manis

5 sudu besar rempah campuran (halba, jintan, biji sawi)

5 kuntum bunga lawang

7 biji buah pelaga

9 tangkai daun kari

15 biji cili hijau yang besar.

15 biji tomato

3 sudu besar pes asam jawa

Sesudu gula

Garam secukup rasa.

Minyak untuk menumis.

Cara-caranya kau lihat gambar ya.

Panaskan minyak untuk menumis. Kau agak-agaklah bila kau dah hiris bawang itu banyak mana minyak nak kena guna. Kuali kasi yang besar. Guna yang kecik, habis melimpah nanti.

Masukkan bawang besar. Karang soalan kau, tak guna bawang putih ke? Dah tak sebut, tak gunalah. Suka sangat bertanya benda tak ada. Ini spesis yang kalau tengok orang kahwin belum dapat anak, dia pasti tanya, belum dapat anak? Haih.. Tumis sampai keperangan.

Masukkan semua rempah kasar yang disebutkan dalam resepi kecuali rempah kari. Tumis sampai harum dapur jiran sebelah.

Oh ya, kau empukkan daging kambing dengan 3 inci halia dan secawan air menggunakan periuk Noxxa (periuk tekanan yang lain pun boleh). High pressure 35 minit.

Kalau kau tak mahu empukkan terlebih dahulu, kau boleh masukkan terus daging kambing ini ke dalam kuali tadi. Cuma, jangan tambah air sikit pun. Biar air daging itu keluar perlahan-lahan. Proses itu agak lama mungkin lebih dari 45 minit nak kasi empuk.

Kacau rata. Humban sekali dengan halia tadi. Masukkan juga halia yang baki tu.

Kacau rata.

Masukkan kentang yang dipotong empat. Ah suka kaulah nak potong berapa.

Masukkan air daging ikut had kau. Kalau kau suka kari tu pekat, masukkan sikit sikit. Kalau cair, masukkan semua. Kau kena ingat tadi kau empukkan guna secawan air kan? Ia akan bertambah jadi bercawan-cawan kerana itu adalah air daging. Sedap.

Wah cantiknya daun kari di rumah emak mertua. Kau ada?

Masukkan daun kari dengan tangkainya sekali. Serius akan jadi lebih sedap. Tak percaya, sudah.

Masukkan rempah kari dengan dibancuh dengan air daging. Kacau rata.

Apabila sudah mendidih, masukkan cili hijau yang dibelah dua (bukan belah tengah). Dan tomato belah suka hati kau berapa. Kacau rata.

Kemudian bila kentang dah empuk, masukkan asam jawa dengan dibancuh dengan secawan air.

Masukkan garam dan gula.

Siap. Peh sedapnya.

Power tak? Jemputlah share sampai pengsan.

Selamat mencuba!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *