Baru Belajar Hidup Dunia Nyata

Saat kita baru sahaja berkahwin, berbagai rasa keseronokan yang kita alami. Kita juga turut berkongsi keseronokan itu kepada kawan-kawan, keluarga dan saudara mara. Mereka juga turut berkongsi keindahan pertukaran dunia bujang kepada dunia perkahwinan ke merata-rata. Semua seronok dan berbahagia.

Tetapi nilai seronok itu bukan semuanya boleh dikongsi semua orang. Ada antaranya hanya suami dan isteri sahaja yang tahu. Yang lain memang juga tahu, tetapi hanya diam-diam dan mendoakan yang baik-baik.

Ya begitulah keindahan agama kita, tak semua perkara baik kita kena kongsi. Ada antaranya yang baik dan indah itu tetap perlu di rahsiakan kerana ada adab dan tertibnya yang tersendiri.

Kadang-kadang kita lupa yang nilai keseronokan itu jadi lebih hebat apabila berkongsi dengan semua orang, biar semua orang tahu itu ini. Supaya semua orang tahu kehidupan kita begitu begini.

Nilai keseronokan dalam menjaja cerita / gambar ini kadang-kadang boleh bawa padah, contohnya:

i) Kita punya wajah cantik. Jadi setiap kali memakai tudung dan bersolek semuanya kita upload dan berkongsi tips-tips begitu begini. Kadang-kadang sampai terlupa ada rambut yang terkeluar dan bersolek juga sudah semakin tebal. Jika ada yang sukakan keindahan tersebut dan mahu berbuat jahat, maka kita yang suka menayang-nayang ini bakal dapat musibah. Ya benar, niat kita baik mahu berkongsi keindahan ciptaan Tuhan kepada kita, tetapi bukan semuanya boleh dikongsi dan di jaja. Kadang-kadang ada manusia yang berharap apa yang dikongsi di laman sosial juga boleh dikongsi di alam nyata. Hati-hatilah.

ii) Kita punya suami / isteri yang sungguh penyayang. Oleh yang demikian kita mahu beritahu kepada semua orang yang suami / isteri kita begitu begini. Kawan-kawan yang saya kasihi, ‘actions speak louder than words’. Manusia zaman ini banyak tertipu dengan kemesraan di mulut, hakikatnya di rumah tidaklah berlaku begitu. Kemesraan suami isteri ini hanya untuk suami isteri. Bolehlah jika mahu beri tips bagaimana penjagaan rumah tangga dengan baik, bukannya memuji suami / isteri sendiri kepada umum tanpa ada segan silu. Jagalah dengan baik sebelum suami / isteri anda diuji dengan ujian di alam nyata.

Kadang-kadang, kita melihat dunia keseronokan kita adalah dunia yang tanpa batas. Semua orang yang membaca tidak merasa keindahan itu secara 100%. Mungkin ada hanya 80%, ada juga 50% ada juga 30% malah ada yang tahap bencinya itu lebih daripada suka terhadap posting-posting kegembiraan kita.

Gunakan keseronokan itu dalam dunia nyata. Supaya keindahan bekeluarga itu dapat kita kecapi di dalam keluarga. Bukan di dalam dunia tipu daya internet ini.

Bayangkanlah semuanya meng’update’ nilai keseronokan keluarga masing-masing, hakikatnya apabila berada di meja makan, semuanya menghadap telefon masing-masing.

Kita menipu untuk mendapat jutaan likes, tetapi kita tidak sedar kita kehilangan ‘likes’ di dalam rumah sendiri. Lebih mudarat dengan jutaan ‘likes’ kita akan mendapat liputan luar biasa, dan mulalah berlaku perkara tidak elok di luar rumah.

Kita berharap mendapat komen ‘how sweet’, comelnya, seronoknya dapat suami / isteri begitu begini, hingga lupa apa yang dikongsi sebenarnya kita tak mahu kongsi di alam nyata. Bila lelaki mahu berkahwin lagi, mulalah si isteri kecut perut. Sedangkan isteri yang suka / selalu menjaja di laman sosial suamiku encik bahagia. Ha apa lagi, kongsilah suami pula. (Bab yang ini suami yang untung, ha ha).

Kawan-kawan,

Tidak semua orang suka membaca nilai-nilai seronok. Ada juga yang memandang nilai tersebut sebagai suatu kebencian (kononnya menunjuk-nunjuk). Jadi eloklah berfikir dahulu sebelum membuat posting.

Ya boleh berkongsi, tetapi berhati-hatilah / berpada-padalah.

Kita guna pisau untuk memotong buah, sayur, ikan ayam dan sebagainya, tetapi bukan guna untuk memotong pagar jiran sebelah rumah.

Kita guna gam untuk menampal barang-barang keperluan, bukan untuk menghidu dan menjadi khayal.

Ya begitulah. Gunakan platform bersosial (di laman sosial) dengan bersosial yang punya batas. Gunakan sebaik-baik supaya apa yang dikongsi di alam internet boleh dibawa ke alam nyata dengan sebaik-baiknya juga.

Jaga maruah,

Jaga keselamatan,

Jaga kehormatan,

Jaga nilai-nilai kekeluargaan.

Wassalam.

Khairul Hakimin. Muhammad

Baru Belajar Hidup Dunia Nyata.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *