Kau dah siap masak untuk berbuka nanti? Abang baru sahaja selesai. Lega. Dikhabarkan waktu wukuf hari ini sekitar jam 5.20 petang hingga 11.00 malam, jadi waktu itu eloklah berdoa kepada kebaikan sebanyak-banyaknya.
Hari ini abang sudah masak rendang ayam hancur. Tak semua tempat ada masakan sebegini. Lembutnya daging ayam itu memang jadi menyelerakan jika regunya ialah lemang atau ketupat.
Walau agak lama dari biasa tempoh memasaknya, apabila sudah makan pasti puas hati. Cewah. Kemain.
Jadi inilah resepinya. Oh ya, resepi ini untuk 5 ekor ayam. Keluarga besar, begitulah.
Rendang Ayam Hancur.
Bahan-bahannya ialah:
5 ekor ayam.
2kg santan segar.
5 batang serai **
2 inci halia **
5 biji bawang besar **
5 ulas bawang putih **
5 inci kunyit hidup **
2 inci lengkuas **
5 batang kayu manis
5 kuntum bunga lawang
5 helai daun kunyit
3 batang serai
1 senduk cili kisar (cili boh pun boleh).
2 sudu besar pes asam jawa.
1/2 cawan kerisik.
Sedikit gula kabong.
1-2 sudu besar garam.
Cara-caranya kau tengok gambar ya.

Kisar semua bahan yang bertanda **. Kemudian Panaskan minyak dan tumis semua bahan tadi bersama dengan kayu manis dan bunga lawang.

Jika bahan tumis sudah naik bau, masukkan cili kisar. Tumis sampai pecah minyak.

Kahkahkah. Kemain tanda **, sekali kunyit halia lengkuas semua tak kisar. Ok jangan panik walau emak mertua kau ada di belakang. Ambil semua bahan, kisar, kool dan masukkan. Hahaha. Kacau rata sampai pecah minyak.

Masukkan semua ayam dan gaul rata sampai air ayam itu keluar. Biasanya ambil masa juga dalam 10-20 minit.

Kemudian terus masukkan santan. Tak payah tunggu ayam dah masak atau belum. Ini kita nak cepatkan ayam itu hancur. Kacau rata.

Dah elok menggelegak, kau masukkan daun kunyit dan serai yang tak ada tanda ** itu. Titik dulu baru campak dan kacau rata.

Dah nampak macam nak pecah minyak, kau masukkan kerisik. Kacau rata juga.

Aha ini gula kabong. Di Pahang, perusahaannya di Benta, Kuala Lipis. Siti menyanyi sampai sedap sangat suaranya itu makan menda inilah pepagi. Haha tipu je tau. Jangan beritahu dia. Hahaha sekali lagi.

Masukkan lah.

Dah semakin memekat, kau masukkan garam dan asam jawa. Kacau selalu supaya bahagian bawah tak hangit. Waktu dah nak kering, lagi kau kena kerap kacau sampailah betul-betul pecah minyak.

Siap! Kalau dah nampak pecah minyak. Ayam pun dah hancur. Maka dah siaplah itu. Kita doakan semoga ianya sedap!
Selamat berbuka kawan-kawan! Selamat mencuba dan Selamat berkongsi-kongsi resepi!
