Tengah hari tadi berkejar ke pejabat pos. Panas bedenting memecut siput gondang di jalan raya. Masuk sahaja ke dalam perut pejabat pos, saya mengambil borang pos laju dan terus menulis nama dan alamat penerima serta pengirim. Kemudian, terus ambil nombor. Allah, ada lagi enam orang.
Saya berjalan lemah dan berdiri di bahagian belakang. Kedengaran dua jejaka separuh sado sedang bersembang kencang. Saya cuba dengar-dengar mana tahu boleh tulis post petang nanti di facebook, bolehlah kau orang baca.
“Kau hati-hati area tu ramai India, kenapa tak cari rumah kat area lain?”
“Ah, nak takut apa, 1 Malaysia! Hahaha” mereka menyambung ketawa.
“Janji sewa murah, lain-lain pandai-pandai lah nak hidup” Saya menoleh nak lihat wajah mereka. Ya lah puasa sebegini tak baik bersangka buruk. ‘eh? Seorang berjubah, seorang lagi ala-ala raihan yang memakai baju melayu moden’ detik hati saya. Saya memberi senyuman kelat kepada mereka, mereka mengangguk senyum kembali, dalam hati saya mereka pasti sedar yang perbualan mereka terlalu kuat dan jika ada kawan yang berbangsa India dengar, pasti mereka akan berkecil hati.
“Hantar barang ke bang?” Yang Raihan tu bertanya. Saya terkesima sekejap, bila pula dia ada betul-betul belakang saya. “Ha ah” saya jawab.
“Abang dah lama duduk sini? Saya baru lagi sebenarnya, baru nak hidup, ok tak sini bang?” Dia bertanya lagi, riak wajahnya dah macam orang mintak air di panas terik puasa.
“Aa.. saya tak duduk sini sebenarnya, saya kerja je kat sini. Rumah kat Bangi”. Mereka berdua jawab serentak “oooooo” (bukan panjang seperti laungan tarzan). “Bukan apa bang, orang kata sini ramai India, risau juga kan bang, kawan saya ni sepatutnya cari rumah kat area kampung sikit, baru ramai melayu.” Saya tak jawab. Saya senyum sahaja, dan bila dia tanya soalan ini,
“Kalau abang macammana? Sini ok ke tak?” Saya jawab “Ok aja, Emak saya pun India.” Sambil buat muka tegas dan pandang tepat ke dua-dua pak melayu yang mulia sangat ini. Kami semua terus diam dan menanti nombor. Mereka pergi dulu dan tak pandang saya pun semasa keluar, mungkin mereka tak sedar yang saya ada iras pelakon Madhavan dalam 3 idiots sampai tak terpandang dibuatnya. Kahkahkah.
Kawan-kawan,
Kita yang buat pilihan dimana kita hendak mulakan kehidupan. Tidaklah kalian beri alasan dengan memburuk-burukkan sesuatu bangsa sedangkan bangsa kita juga penuh dengan pelbagai kisah buruk dan jelek. Saya hidup sebagai anak India masuk tahun ke-34, dan ini bukan kali pertama saya dengar orang memperleceh bab-bab bangsa.
Dulu, masa saya mahu berkahwin, abah saya menerima mesej dari entah siapa yang memberi ayat jahat, “jika jumpa ular dan india, pukul india dahulu”. Sebegitu sekali sentiment rasis yang melekat dalam diri. Dan buat kali pertama abah saya terpaksa membuat laporan polis kerana amat sedih dengan ayat mesej yang diberi. Kesedihan abah walaupun sudah berpuluh tahun berkahwin dengan emak meletup-letup selepas perkara itu. Perkahwinan saya tetap berjalan dengan penuh warna warni walaupun hati emak sudah patah seribu saat membaca mesej tersebut.
Kawan-kawan,
Kita boleh sebut Salam 1 Malaysia, tetapi dalam hati, kita tetap ada rasa mahu memperlekeh bangsa-bangsa lain. Tingkat kopiah yang tinggi tidak menjadikan kita alim yang sudah terima tiket ke syurga. Berbaik-baiklah sesama kita dan bersangka baik juga. Yang Islam tak akan Islam jika tak habis-habis memperlekeh dan memburuk-buruk orang lain. Tak semua orang jahat, tak semua juga orang baik, tetapi biarlah kita yang jadi baik.
Jika kalian mahukan tips bagaimana mahu berbahasa dengan bangsa lain, pergilah mengembara. Sungguh, kalian akan lihat bagaimana mereka menyantuni, memberi tunjuk ajar, bersikap baik dan tidak kepada kalian. Belajarlah semasa mengembara, dan kembali ingat pesan Tuhan, berbaik-baiklah.
Khairul Khan,
0.5 Melayu 0.5 India, Pakar Kari Kambing.
