Ujian Buat Kami Pendosa-pendosa

Semasa menemuramah Lina beberapa tahun lalu untuk saya siapkan novel beliau, seorang gadis Aceh yang terselamat dari Tsunami 2004, banyak kali kami terhenti beberapa saat dan minit. Lina sekejap-sekejap menekup muka, ada kala beliau bangun dan mengipas wajahnya dengan 2-2 belah tangan, dan kembali duduk.

Lina antara yang diselamatkan oleh Abang Iparnya dan mereka ber-5 (kakak, abang ipar dan 2 anak saudara) melalui detik sukar yang susahnya nak beri sesiapa faham.

Rakan baik Lina, Maryati, juga diselamatkan oleh abang iparnya, namun hanya dia sahaja yang selamat. Seluruh ahli keluarganya termasuk nenek, pakcik makcik, sepupu serta adik beradik, ibu bapa, anak-ana saudara meninggal dunia (atau hilang) hingga hari ini.

Lina mengatakan, “Saya hanya hilang ibu bapa, namun Mar hilang segala-galanya.”

Beliau menangis lagi. Kata Lina, Allah bukan sahaja menghilangkan keluarga Mar dari sisinya, malah kejadian gempa, banjir lumpur dan tsunami yang membadai Bandar Islam yang masyhur di Tanah Melayu yang kita bangga itu menjadikan Mar lupa wajah setiap ahli keluarganya.

Mar tidak boleh bercakap selama beberapa bulan, dihantar ke rumah terapi, tinggal di sana hingga kadang kala makannya perlu bersuap, kencing berak perlu dibasuh, mandi juga perlu bantuan dan sebagainya.

Saya pulang ke Bangi, menyiapkan lagi beberapa bab, dan kemudian duduk termanggu di kerusi. Seperti putus asa mahu menyiapkan naskhah yang ini.

Lina bercerita banyaknya kisah manusia yang karam dalam badai tsunami. Lebih dari itu, mereka yang hidup, boleh dikatakan tak semua dapat meneruskan kehidupan seperti biasa.

Ada yang terus gila. Ada yang perlu bantuan hingga kini.

Yang kita nampak Aceh terbangun hari ini ialah bantuan dari banyaknya negara yang mana ianya datang selepas badai itu melanda.

Mereka berperang lebih 10 tahun memohon hak dari Jakarta dan dikatakan pada setiap hari ada sahaja yang meninggal dunia ditembak.

Namun pada 26hb Disember 2004, sebahagian Aceh disapu bersih air laut yang datang sekuat-kuatnya hingga lebih 200,000 orang terkorban.

Saya melihat Lina mengatakan bencana itu adalah sebuah ujian. Yang mana mereka ini mangsa kepada sebuah pesanan besar dari Allah.

Jika kita memandang ia sebagai bala, kita akan melindungi diri kita semua konon-konon kita mulia. Kita manusia yang bisa solat, menunaikan apa sahaja perintah Allah namun sebab kita ini sudah mulia, kita memandang satu-satu perkara yang menghentam sesuatu yang nyata dari Tuhan itu sebagai hukuman.

Lalu kita berbisik kepada diri, apalah yang mereka buat sampai mereka jadi begini.

Semasa mereka berkumpul di Baiturrahman, masjid yang kekal gah berdiri semasa gempa dan tsunami, ada orang menjerit,

“Beri anak-anak makan dahulu, mereka anak-anak minum dahulu, utamakan anak-anak!”

Pada waktu itu, ada banyaknya roti-roti di dalam beg plastik timbul dan lalu di atas air tsunami yang semakin tenang.

Ada juga buah kelapa. Lalu mereka menghulur tangan menyambut dan ada yang turun ke dalam air mengambilnya.

“Waktu itu, orang tak mahu bercerita yang dalam memberi ujian, Allah juga menghantar banyaknya kasih sayang. Benar, banyak kedai hancur, banyak rumah roboh, namun manalah makanan itu boleh timbul dan melalui masjid kesayangan kami.

Kemudiannya kami beri anak-anak ini makan, selang 2 hari baru bantuan tiba, dan waktu itu kami baru dapat keenakan nasi serta dapat minum kopi.

Pak Khairul, mungkin 1 hari nanti, tsunami akan datang semula. Jika ia kembali ke Aceh, sekurang-kurangnya kami semua yang terhina dipandang orang mulia yang kerap kata kami pendosa ini, jujurnya kami ini akan syahid kecil. Sungguhnya lemas itu kan syahid?

Namun kalian yang masih hidup itu apa? Bukankah hidup dalam senang, tidak merasa apa itu gempa, tidak pernah bersua tingginya air memukul badan, dan tidak pernah mendengar jerit pekik orang takut kerana badai itu juga ujian?

Kadang-kadang Pak, bangun pagi di kamar paling indah, di sisi orang tersayang kemudian boleh melihat anak masih nyenyak tidur itu juga ujian pak.

Itu ujian kesenangan. Dan ujian yang itu, kita tak akan dapat syahid pak.”

Dan hari ini,

“Lina” kembali masuk ke bab seterusnya.

Khairul Hakimin Muhammad,

O Allah, ampuni kami.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *