Rezeki Tu Hak Allah

Sedang berjalan segak keluar dari ruang solat, saya dilambai seorang makcik tua yang sedang duduk di tangga masjid.

‘Dik, nak beli kerepek? Habiskan sahajalah. Makcik jual RM18, biasanya RM20.’ Dengan wajah manis dan penuh senyum, beliau menghulur kerepek sambil sebelah lagi tangannya mengurut kaki.

Saya kemudian duduk di sebelahnya, buat-buat mahu memakai stokin. Sebenarnya dari awal lagi saya teringin sangat mahu bersembang dengan wanita hebat seperti ini. Jika terserempak di kedai makan, beberapa kali saya cuba mengajak makan bersama. Tetapi tidak pernah pelawaan saya disambut. Mereka ini berniaga dari orang ke orang dan bergerak dengan dua plastik besar kiri dan kanan tangan ke sana sini menjual dengan penuh usaha.

‘Makcik dah makan?’

‘Sudah, alhamdulillah’. Beliau acuh tidak acuh menyambut pelawaan saya untuk bersembang.

‘Makcik dari mana sebenarnya?’ Saya cuba lagi bertanya.

‘Dari Sungai Besar, makcik 9 orang berpakat ambil pemandu, pagi-pagi lagi sudah keluar rumah menuju ke Bangi. Sini ramai orang banyak duit, senang membeli’ katanya.

‘Makcik dengan kawan-kawan bukan orang senang, jadi menjual kerepek di restoran, masjid dan mana-mana tempat ramai orang, dapatlah bawa balik duit serba sedikit. Seronok. Bolehlah buat modal buat kerepek lagi.’ Beliau menyambung.

‘Baru jam 11 pagi makcik, sudah habis?’ Saya mula terpelik-pelik.

‘Alhamdulillah. Makcik dengan kawan-kawan makcik ada masa jualan baik, ada masa sampai tengah malam baru habis. Satu petua makcik mahu beritahu, jangan sesekali tinggal solat dhuha, buat empat rakaat, bersyukur dengan segala apa kehidupan yang kita lalui, syukur kepada Allah dengan menunaikan solat dhuha. Rezeki tu Allah beri cepat atau lambat sahaja, dan kita pula perlu memohon pada setiap masa. Makcik kalau habis awal, pergi tolong kawan-kawan pula lepas ini.’

Beliau terus menyambut perbualan saya satu demi satu. Kami bersembang bagai anak beranak. Saya menyerahkan kad bisnes sebagai tanda pengenalan, manalah tahu jika makcik tersebut memerlukan bantuan atau berlaku sebarang hal kecemasan semasa di Bangi.

Beliau nampak betul-betul segan. Saya pun bangun dan memohon untuk mengundur diri.

Saya menghulurkan wang kertas RM20 dan beliau menghulurkan kerepek kepada saya.

‘Tak apa makcik, bakinya makcik ambil’. Saya senyum dan mengangkat tangan.

‘Alhamdulillah! Tengok, betul tak makcik cakap, rezeki tu hak Allah, lambat cepat sahaja!’ Kami ketawa serentak.

Syukur dengan menunaikan solat dhuha. Percayalah, sesungguhnya rezeki itu mutlak dari Allah SWT.

“Wahai anak Adam, janganlah engkau merasa lemah dari empat rakaat dalam mengawali harimu, nescaya Aku (Allah) akan mencukupimu di akhir harimu.” (HR Abu Darda).

Khairul Hakimin. Muhammad,

Baru belajar.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *