Ikon Dalam Rumah Sendiri

Duk tengok orang bergaduh hari ini tentang hal-hal kecil dalam rumah tangga, jadi aneh.

Depa tak ada ikon dalam rumah sendiri ke apa?

Zaman kami (lahir 80an),

Kami melihat ikon itu ada dalam rumah sendiri.

Kebanyakan dari kami emak tak bekerja.

Sekiranya emaknya bekerja pun, tetap jadi idola.

Zaman itu zaman bawa bekal.

Zaman itu zaman bawa kawan mai makan kat rumah.

Zaman itu memperkenalkan emak ayah tanpa ada darjat pun.

Emak ayah suka tengok anak-anak berkawan.

Emak masak,

Maka kita nak cari isteri yang lebih kurang sama pandai. Pandai urus anak, urus keluarga, urus dapur dan seluruh rumah. Kita, cari duit habis-habisan.

Generasi lahir 80an adalah generasi paling beruntung.

Kita melihat perubahan besar dari analog kepada digital. Kita merasa jawab exam 1 soalan dengan 32 helai kertas. Kita merasa pakai mesin taip untuk siapkan surat.

Kita adalah generasi paling ditengah-tengah transisi penukaran kepada generasi millennium hari ini.

Dalam tempoh sekejap keluar komputer.

Kita merasa pakai telefon masa zaman hujung universiti. Susah ya amat nak dapat duit.

Gaji 300 itu normal aja.

Lepas degree, gaji 1,200.

Balik kampung,

Tidur memanjang.

Bangun. Mak suruh makan banyak-banyak.

Mak cakap nanti kahwin cari yang pandai masak. Kau tu suka makan. Emak nasihat sebab emak tahu zaman itu manalah ada orang nak bergaduh tentang orang perempuan ke dapur, lelaki usaha cari duit.

Syukur dapat isteri lahir 80an juga.

Walau dia pernah kerja hospital. Jawatan besar. Gajinya lagi besar dari suami yang takat kerja kilang,

Dengan Penat ya amat.

Setiap pagi dia tak pernah tertinggal kopi untuk suami. Setiap kali kita dah balik rumah, dia mesti hulur air sejuk walau belum sempat salin baju bagai.

Menyusu badan ke anak-anak, sekali pun tak mengeluh. La ni dah berhenti kerja, saya nasihat “pi la jadi kawan baik ke emak sendiri. Apa sahaja yang berlaku, jangan ditinggalkan emak abah.” Jadi kerjanya sekarang selain urus rumah dan anak-anak, dia juga bantu emak ayah dia.

Setiap hari, dia pastikan dia balik paling lambat dari rumah emak ayah dia. Saya memang nasihat pastikan semua dah selesai baru balik. Kasihan emak abah dah tua, terutama emak, kena dibantu.

Dia burn out? Alhamdulillah tak pernah.

Orangnya happy.

Kenapa dia boleh happy?

Sebab dia buat tanpa fikir dapat balasan.

Dia buat aja.

Zaman sekarang jangan cuba-cuba. Tak pasal-pasak dituduh “kesian isteri dia, entah entah burn out tapi tak cakap.”

Padahal si isteri ok aja. Happy kemain dengan hidup dapat berbakti sebanyaknya.

Apa dia buat, sekarang,

Anaknya ikut.

Anak sulong kami, dengan sesiapapun rajin hulur air.

Nampak sesiapa susah, usaha nak bantu.

Syukur alhamdulillah.

Dia lahir zaman canggih. Maka dia kena kenali perlahan-lahan zamannya itu bagaimana.

Kawan-kawan,

Anak-anak tengok kita.

Kalau kita duk bertekak hal memasak, hal jaga anak, hal isteri kena me time, suami kena ada masa pi mancing, futsal, kita takkan menang.

Yang menang sebenarnya kalah dan mati berkali-kali.

Dalam rumah tangga, jika kemenangan yang dicari, maka mati sudah tolak ansur. Jika kehebatan yang dikejar, maka mati terus kefahaman.

Rumah tangga dibina atas percaya, tanggungjawab dan hak-hak batin dan zahir.

Dalam percaya itu ada tolak ansur.

Ada kasih sayang.

Ada ketawa.

Ada menangis.

Ada semua.

Seperti kita mahu menyiapkan kari paling sedap.

Kita kena tumbuk segala bawang, kemudian tumis dengan minyak paling panas. Proses itu ada aroma manis, namun tak boleh disentuh takut melecur.

Sudah siap, dicurah perlahan atas nasi, disuap juga tenang dan perlahan. Nikmati dan telan perlahan-lahan.

Sedap.

Itulah rumah tangga. Ditelan diam-diam. Angguk atas enak. Senyum beri tanda ia lazat.

Bukan sibuk menambah air sedang kari gelegak. Tak pasal jadi tawar. Atau sudah siap, baru nak ditambah cili bagai, boleh jadi terlalu pedas sampai tak boleh makan.

Ia bukan sempurna. Ia cukup-cukup.

Begitulah.

Khairul Hakimin Muhammad,

Carilah ikon dalam keluarga sendiri. Akan jumpa baik buruk mana nak diikut mana nak dielak.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *