Dari Bukit Beruntung saya menumpang kereta kawan ke stesen komuter. Kebetulan rumah beliau melalui stesen Bandar Tasik Selatan, kami berdua ke sana dengan Saga putihnya.
Beliau turunkan saya di stesen tersebut. Kereta banyak dan kami berpisah di situ. Saya berjalan perlahan memasuki ruang tiket Komuter. Membeli dan kemudiannya terus turun ke Platform 1 – Seremban.
Saya berdiri di belakang bahagian bangunan yang menempatkan dinding lif. Terus saya capai beg dan keluarkan Allah Love Me tulisan Jerry D. Gary yang diterjemah oleh rakan penulis, Puan Fatimah Rodhiah. Sedang asyik membaca kisah Jerry, saya ditegur oleh seorang pemuda yang kurus kering. Beliau tanya ada air atau tidak. Saya terus sahaja menghulurkan sebotol air mineral yang sememangnya dari tadi lagi saya pegang.
Beliau duduk mencangkung dan minum beberapa teguk. Kemudian menghulur kembali air tersebut, saya menolak dan berikan terus kepadanya. Kami mula bersembang.
Rupanya beliau mahu balik ke rumah di Serdang, setiap hari beliau akan melalui stesen ini dari sebuah rumah yang dibuat untuk penagih yang mahu dipulihkan. Kata beliau lagi, pusat tersebut beroperasi dari rumah yang mengajar cara mengaji dan solat supaya ketagihan terhadap dadah akan berkurangan.
Saya sempat bertanya di mana ‘turning point’ beliau ingin berubah. Beliau ambil masa beberapa saat untuk jawab. Berfikir. Kata beliau, mula menagih masa sekolah menengah. Kemudiannya beliau dapat masuk U dan teruskan menagih. Pernah ditangkap beberapa kali oleh rakan-rakan, dan pernah dipulaukan, tetapi ketagihannya sangat kuat. Takdir Tuhan, satu hari beliau pulang ke rumah dan beliau terputus ‘bekalan’. Akhirnya ibu yang disayang-sayang mengetahui perkara yang paling dirahsiakan dalam hidupnya apabila ada orang yang menghantar dengan cara yang penuh curiga.
Ibunya pengsan, dan saat sedar semuanya sudah berubah. Strok dan terbaring tanpa boleh bercakap sepatah pun hingga hari ini. Ayah beliau meninggal dunia beberapa tahun lepas dan ini menyukarkan kehidupan beliau.

Saat ibunya di hospital, hidupnya ‘dilupakan’ dengan ketagihan. Walaupun kadang-kadang beliau menggigil kerana terlalu inginkan ‘bekalan-bekalan’ beliau cuba sedaya upaya lawan untuk menjaga ibunya sendiri. Akhirnya, ditangkap oleh pihak sekuriti (kerana keadaan yang mencurigakan) dan beliau dihantar ke pusat pemulihan. Duduklah beberapa bulan dengan merindui ibunya.
Sudah dia keluar, kini beliau yang jaga ibunya. Bergilir dengan adik beliau yang kini seorang suri rumah (dan duduk di sekitar rumah ibunya). Pada hari siang, adiknya akan jaga ibu, dan malamnya beliau pula akan mengambil giliran.
Beliau berpesan kepada saya, setiap orang Tuhan uji dengan ujian berbeza. Dosa beliau ialah kejam pada diri sendiri. Dan Tuhan hadiahkan ibunya yang sakit untuk kembali pada agama. Kini beliau sudah hafal 12 juzuk Quran dan beri saya beberapa tips untuk senang hafal. Syukur masuk bulan ke 11 beliau tidak lagi sentuh najis dadah.
Beliau memegang buku yang saya sedang baca dan mengangguk, nampak ada air mata yang sedang bergenang. Kata beliau, dulu dia baca semua buku. Hari ini dia hanya mahu kenal Tuhan, mahu dekat dan sentiasa bercakap-cakap dengan Tuhan, mahu sentiasa pegang dan membaca Al-Quran. Saya senyum padanya.
Komuter sampai dan kami bersalaman di situ, beliau memeluk bahu saya dan ucapkan terima kasih kerana sudi bersembang.
Raut wajah yang kering, baju labuh ala kurta lusuh, dan langkah longlai, beliau berlalu masuk ke dalam tren, saya pula menanti tren yang lain. Tak suka dengan padatnya manusia berebut-rebut. Saya senyum sekali lagi seorang diri.
Siapa tahu seorang penagih boleh mengajar orang lain tentang kecintaan terhadap Al-Quran?
Tuhan tahu.
Buat kita yang penuh dosa, setiap pertemuan adalah hak Tuhan, sama juga dengan perpisahan. Tuhan tahu untuk apa diberi hak-hak ini. Untuk kita pendosa. Ya penuh dosa.
Semoga bermanfaat.