Semoga Semuanya Belajar

“Tuan, kalau susah sangat nak mengadap cikgu, saya tak boleh kata apa. Saya dah ramai dah jumpa orang beralasan ni, memang situ ajalah hidup dia tak berubah.

“Tuan jangan begitu, saya merayu datanglah ke sini. Saya bukan beri alasan. Saya boleh bayar tuan datang, duit minyak pun boleh ja saya kasi. Saya just nak belajar aja.”

Saya tak layan pun alasan dia.

Berkali-kali beliau nak bayar bimbingan peribadi dengan saya. Saya kata kalau nak belajar datanglah ke Bangi. Apabila nak buat Zoom, beliau beri alasan yang di tempatnya talian tak bagus. Mesti sangkut-sangkut.

Lagilah saya nampak dia ni sengaja ja beralasan. Saya marah dia, saya kata orang rajin kena cari jalan.

Takdir Allah, selepas berkali-kali saya menolak ke tempatnya, beliau berputus asa.

Kilang biskut saya tumbang pada Ogos 2022.

Sekitar beberapa bulan selepas itu, dengan hutang RM4.09juta, saya sendiri jadi tak berduit. Saya tulis di paparan saya itulah titik terendah dalam hidup saya.

Tup masuk duit RM1,000.

Beliau mesej saya “tuan, tak payah bayar balik. Guna aja kot terputus beras ke apa ke.” Nombor itu saya kenal. Saya save sebagai prospek bimbingan peribadi, semua mesej awalnya itu masih ada. Ya Allah..

Saya terduduk. Demi Allah saya tak tahu nak letak muka ini di mana.

Dia tahu nombor akaun saya sebab beli ebook saya.

Selepas lebih setahun, saya dah kembali ada duit serba sedikit. Saya merancang ke tempatnya. Saya mesej dan beliau kata datanglah.

Perjalanan lebih 2 jam. Saya pergi sendiri aja.

Sampai di rumahnya. Di depan rumah ada sebuah gerai kecil. Katanya gerai dibuka petang sahaja.

Beliau kata beliau segan. Takut saya tak selesa. Kemudian terus berlari mengejar seorang orang tua yang tak berpakaian sedang berlari anak di tepi rumah.

Alangkah pilunya hati saya melihat dia menjaga ayahnya yang dah nyanyuk ke tahap tak siuman.

Saat saya sampai dia sedang berlari-lari menguruskan ayahnya.

Ayahnya baru sahaja buang air merata-rata, buka pampers dan bersepahlah najis di tepi rumah (dia ada buat macam bilik tepi rumahnya).

Puas dia tenangkan ayahnya dahulu, memeluk di luar rumah. Ayah dah bertenang, perlahan-lahan dia siram ayahnya dengan air. Sambil dia pun kebasahan bersama barulah dia peluk dan berjalan bersama ayahnya ke dalam bilik air.

Saya menanti aja semuanya selesai.

Saya cakap “kenapa tuan tak nak beritahu ini situasi tuan masa tuan nak belajar dengan saya? Ini ka yang berlaku sebenarnya?”

Dia senyum.

Dia kata sepanjang dia beri alasan dia jaga ayah yang nyanyuk, tak pernah sekalipun orang percaya. Jadi dia tak nak dah beri alasan tu.

Dia ada 6 orang adik beradik. Tinggal dia aja yang sanggup jaga ayahnya yang dah lebih 10 tahun begitu. Yang lain dah bertahun tak pulang. Dia berhenti kerja dan jaga ayahnya. Berniaga di kampung sahaja.

Isterinya berjaya minta tukar (cikgu) dan duduk bersama sekeluarga di situ.

Kami bertukar pendapat. Saya beritahu apa beliau perlu buat untuk bisnesnya. Sepanjang jalan balik ke Bangi, saya berhenti lebih 5 kali.

Kadang rasa susah nak bernafas.

Kadang rasa nak menangis.

Kadang menangis.

Kadang tak tahu nak buat apa.

Rasa teruk sangat.

Saat hari itu, saya diajar Allah supaya belajarlah untuk mendengar. Bukanlah kita ini cikgu kita betul semua. Kita tak hebat pun. Ilmu yang ada pun Allah kasi. Bukan kita punya pun. Kenapalah nak ber-ego sombong bagai. Huhu.

Kadang-kadang hanya dengan sedikit merendah diri, kita akan memahami.

Ini salah satu “untold story” yang saya kongsikan dengan Abemi tadi.

Ya Rabb, saya bersyukur saya diuji dan saya diberi peluang baiki diri. Alhamdulillah.

Terima kasih ya Allah beri saya pelajaran besar.

Buat abang A, sekiranya baca ini, percayalah abang ada dalam perjalanan hidup saya. Semoga terus dirahmati dan dilindungi Allah.

Terima kasih bang. Itulah hidup kawan-kawan. Jika diuji tapi tak sempat baiki, lagi sedih.

Begitulah.

Khairul Hakimin Muhammad,

Alhamdulillah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *