“macam mana awak handle?”
Itu soalan paling kerap. Raya baru-baru ini pun ditanya soalan sama. Saya tengok keadaan, kalau boleh terangkan panjang lebar, saya jelaskan. Kalau tidak, saya jawab “kena hadap aja.”
Ada 1 benda saya sentiasa pegang dalam mengadap ujian, iaitu kita kena ada cerita yang kita boleh rujuk. Maka, kita akan berlega-lega apabila kisah itu sentiasa ada dalam kepala kita. Maka saya sentiasa ada rasa aman, damai dan tenang.
Walau serabutnya tetap datang setiap hari, setiap kali itu saya legakan diri dengan kisah tersebut, maka saya akan kembali dalam pintu nafas lega. Yakin.
Kisah saya pegang ialah kisah baginda Rasulullah SAW. Kalian tahu tak, dalam banyak-banyak kisah, saya fikir, Rasulullah SAW adalah insan yang Allah letakkan sebanyak-banyaknya kesedihan yang manusia normal lalui. Kesedihan, kekecewaan, kegelisahan, semua baginda lalui. Sedangkan baginda SAW adalah seorang Nabi.
1. Baginda SAW lahir tanpa bapa (meninggal sebelum baginda lahir)
2. Ibu baginda SAW meninggal dunia semasa baginda masih kecil.
3. Ibu susuan pula meninggal.
4. kemudian datuknya pula meninggal dunia.
5. mula hidup berdikari.
6. enam anak baginda meninggal dunia di hadapan matanya. 6 kawan-kawan, enam!, Qasim, Abdullah, Ibrahim, Zainab, Ruqayyah dan Umm Khalsum. Rasulullah SAW sendiri mengiringi jenazah anak-anaknya seorang demi seorang.
7. Isteri tercinta meninggal dunia, Saidatina Khadijah.
8. Ayah saudara yang disayangi, Abu Talib meninggal dunia.
9. penghinaan di Taif – dicederakan, dibaling batu dan dihina oleh penduduk.
10. Kematian Hamzah dalam Perang Uhud.
11. Kematian Zaid dalam Perang Mu’tah. Anak angkat baginda SAW ini merupakan antara yang sangat akrab dengan baginda.
Ini antara kisah yang saya pahat dalam hati saya. Saya melihat keluarga, saya melihat kawan-kawan yang diuji kehilangan anak, keluarga dan sebagainya.
saya beli buku tentang Rasulullah SAW ini sebanyak-banyaknya, saya jadi suka dan sentiasa letak ia adalah buku paling banyak saya rujuk dalam perjalanan hidup saya.
Saya pula diuji dengan hutang bisnes yang saya sendiri buat. Kononnya pada waktu itu akan berjalan baik, tapi Allah atur sangat berbeza. Awalnya manis, rupanya sekejap aja, tumbang.
Kisah Rasulullah SAW bersedih inilah saya kuatkan diri. Sedang Rasulullah SAW pun diuji, inikan kita manusia biasa.
Saya pernah dapat whatsapp yang tersalah hantar. Nak dihantar kepada orang lain, saya yang terima. Orang ini adalah orang yang saya percaya sangat-sangat, apabila berjumpa, manisnya, baiknya, pekertinya, sangat-sangat saya hormati. Tapi apabila ia datang kepada saya dengan ayat:
“memang celaka dia tu, aku memang akan buat dia susah, selama ni aku tengok je perangai dia, takpa kita tengok apa kita boleh buat, biar dia susah.”
Masa saya dapat whatsapp tersebut, saya buka dan baca, macam tak percaya ia rupanya dihantar kepada kawan saya juga. keduanya saya sangat percaya.
Isu saya berhutang dijadikan sebagai sasaran besar. Yang selama ini jadi kawan, rupanya memang dah lama menanti saya tumbang.
Hanya kerana cemburu aja. Tak ada apa.
Cemburu tengok kita bukan buat konten begitu begini.
Cemburu tengok kita bangunkan syarikat sana sini.
Cemburu tengok kita ini tak ada apa beriya, sentiasa tenang.
Jadi, nak tengok kita bersusah.
Awalnya, serabut.
Malah saya tahu beberapa orang yang menulis tentang saya pun ada yang disuruh tulis oleh kumpulan tersebut. Padahal, hutang saya tak ada kaitan dengan mereka.
Teruk jugalah nak hadap tahun 2023 tersebut.
Alhamdulillah, berjaya bayar sekitar RM3juta.
Berbaki RM1juta, saya sedang usahakan.
kembali kepada kisah Rasulullah SAW, baginda juga pernah hadap fitnah tentang isterinya, Aisyah. Bagaimana baginda hadap pun saya belajar banyak.
Kisah baginda sangat rapat dengan saya, sungguhpun saya ini dosanya banyak amat, tapi sekurangnya apabila ada cerita yang saya pegang dan yakin akan sinarnya nanti, maka saya terus berusaha dan lantakkan aja apa orang nak cakap.
Kawan-kawan,
Jika kalian dalam fasa nak murung,
atau dah pun murung,
membacalah. cari support system.
Ia boleh jadi kawan rapat,
boleh jadi keluarga,
boleh jadi emak ayah,
boleh jadi buku,
boleh jadi kisah-kisah seperti ini.
Ya saya tahu, orang akan cakap kembali kepada Allah.
Tapi tak ramai nak cerita langkah demi langkahnya.
Kembali kepada Allah perlu sebuah cerita.
Dari situ kita percaya Allah bantu melalui solat.
Dari situ kita percaya Allah beri ketenangan melalui ibadah.
Dari situ kita percaya Allah beri ujian untuk kita hadap dengan hemah.
Perkataannya ialah percaya.
Betul, kita tak baik mana, dosa banyak.
Kita buat baik sebaik-baik, kita kena juga.
Jadi, terus aja buat baik, lantakkan apa orang kata,
sebab kita dah tahu memang ujian itu special untuk kita,
siapa beri?
Allah.
Kenapa Allah beri?
sebab kita special.
Kita mampu harung, sebab itu ia hadir kepada kita untuk bantu orang lain. Jadi kena berbuat dan berusaha.
Sebab itulah soalan di atas itu ditanya.
Ada orang cakap “kalau akak, akak dah gila.”
Ada juga yang beri komen “kalau saya, saya dah lari dan tak mungkin boleh keluar rumah.”
Itulah specialnya ujian untuk kita. Sangka baik dengan Allah adalah perkara mustahak untuk kita letak dalam kepala.
Alhamdulillah.
Selagi hidup, masih ada peluang baiki.
Begitulah.
Khairul Hakimin Muhammad,
Tak baik mana, dosa sangat banyak,
nak bantu, tak mampu,
nak nasihat, tak patut.
Saya melalui detik sukar itu,
yang saya boleh ialah bercerita bagaimana saya lalui.
Semoga ada manfaatnya dan kawan-kawan terjumpa posting ini seramai-ramainya.
