Dah siap baca yasin, kau pun pandang jam. Ah laki kau tak balik lagi. Mesti dah makan dengan kawan-kawan kat luar punya. Kau dahlah lapar.
Jadinya abang nak tunjukkan kau macammana nak masak senang, sihat dan kenyang serta bertenaga. Kahkahkah.
Nama resepi ini ialah Megi Telur. Abang dah berkurun buat benda ini. Sebab itu abang lebih sihat berbanding orang lain. Haha. Kalau kat kilang abang itu, bila bergambar saja, abang tengok dan macam filem The Hobbit dah, semua kecil kemain kecuali abang. Hahaha.
Baiklah. Jom ke dapur.
Megi Telur.
Bahan-bahannya ialah:
1 paket megi – buang perisa dia. Atau kau guna mee cintan ka, mee kuning ka, mee apa-apalah.
2 biji telur ayam yang telah dibasuh. Nanti haram.
1 sudu kecil serbuk lada hitam.
Kicap manis sebanyak mana kau suka.
Bawang goreng sebanyak mana kau suka.
Cara-cara kau tengok gambar ya.
Share jelah. Tak kuasa abang nak reply satu satu bila kau tulis mohon share.

Panaskan air dalam dua biji periuk. Nak senang kau beli periuk yang 8 biji satu set. Murah bebenor kat Kelantan. Ha, satu untuk celur megi satu lagi untuk rebus telur separuh masak.

Bapak besarnya periuk. Kahkahkah. Celur mee sampai lembut. Kalau hancur kau buat semula sekarang juga.

Periuk satu lagi kau biar dia mendidih dulu baru letakkan telur yang dah dibasuh. Tutup api dan tutup periuk. Tak jumpa penutup, kau guna pinggan jelah selama enam minit. Lebih akan keras, awal akan tak masak.

Toskan megi guna penapis yang kau ada.

Lepas itu pecahkan telur dalam mangkuk. Kulit dia buang. Kacau rata.

Masukkan kicap banyak mana kau suka dengan serbuk lada hitam. Kacau rata.

Abang suka gelap macam ini ha. Baru power.

Letak megi atas pinggan lawa. Tuang telur dan ambil gambar dulu. Gaul rata.

Buh bawang goreng banyak mana kau suka. Ada cili padi lagi bagus untuk laki kau. Biar dia rasa ada bom dalam megi tu. Siapa suruh balik lambat memalam jumaat ni. Gaul rata.

Siap. Baca bismillah dulu. Makan depan tv sambil tengok Astro Oasis. Insaf.
Selamat mencuba!
