Itulah Kehidupan. Hidup Kena Terus

17 tahun lepas, masa kami bernikah. Gaji saya RM1,200. Gaji isteri saya sekitar RM4,000.

Saya kenyang dengan kata-kata orang.

Berbagai-bagai. Dituduh itu, dicerca ini. Macam-macam.

Namun sekalipun saya tak melawan.

Diam, angguk, terima.

Kadang menjengkelkan sangat, diam juga. Tak bertempur langsung.

Apabila cubaan memburuk tak berjaya.

Bermula siri fitnah.

Katanya saya berkahwin nak harta.

Saya berkahwin nak makan duit bini.

Saya berkahwin kerana teringin nak hidup senang.

Untuk kesekian kalinya, saya diam.

Langsung tak bertempur.

Ia buat saya terus tak mahu apa-apa dari isteri saya.

Kadang memang langsung tak berduit, dia hulur, saya tak mahu. Jadi sedih kerana saya tahu dia nak bantu tapi sebab mulut orang, saya tak mahu.

Kadang dia letak ja dalam dompet saya. Tahu-tahu ada sekeping dua duit kertas.

Bertahun-tahun.

Berbulan-bulan.

Malah kadang-kadang tak mahu bertemu orang ini. Tak mahu bertembung orang itu. Kerana tak larat nak dengar apa lagi yang nak dikatakan.

“Seronoklah kahwin anak orang kaya.”

“Macam mana kahwin anak dato? Dapat kaut berapa banyak?”

Balik rumah naik motor, berombak dada menahan marah. Kekal ketap gigi. Menyimpan bibir ke dalam sampai terasa di gusi kuatnya.

Saya kekal tak bertempur.

Yang saya buat ialah terus diam dan ketap gigi. Kami berkahwin dengan restu kedua ibu bapa.

Emak abah saya menerima isteri saya seadanya.

Emak abah mentua saya pun menerima saya seadanya. Ya Alhamdulillah itu sudah cukup membawa keberkatan sebanyak-banyaknya.

Yang bercakap itu semua yang tak tahu apa-apa. Tahu bercakap sahaja.

Saya tahu pandangan benci tersebut.

Saya memahami bagaimana saya dibenci kerana mulut sana mulut sini. Saya tahu cara pandang kepada saya apabila saya lalu sana sini. Saya tahu. Saya memahami kebencian tersebut.

7 bulan pertama kahwin, saya lalui sahaja. Saya diam, saya diam, saya diam.

Saya melawan dengan kesungguhan bekerja.

Saya bertempur dengan berusaha sesungguhnya.

Saya bertawakal kepada Allah atas apa sahaja yang saya kerjakan sekuat-kuatnya.

Lalu dapat anak pun lambat.

6 tahun baru dapat anak pertama, pun kena lagi.

Dikatakan sebab saya kepinginkan harta itulah punca susah dapat anak. Juga saya diam.

Apabila dah dapat seorang. Lagi dan lagi ada kata-kata yang tak pernah habis.

Saya terus ambil pendekatan, ya mereka takkan berhenti bercakap. Lalu saya juga takkan boleh berhenti berusaha.

Nak kata saya berdendam, katalah.

Saya yang lalui.

Nak kata saya tak memaafkan, katalah.

Saya yang hadapi.

Nak kata saya tak melupakan, katalah,

Saya yang alami.

Saya tak mahu cakap saya maafkan atau tak. Itu saya dengan Allah.

Saya cuma nak beritahu kalian semua, saya dah puas menangis. Antara benda yang saya menangis depan Kaabah baru-baru ini adalah tentang ini.

Susahnya nak reda.

Susahnya nak maafkan.

Susahnya nak melupakan.

Ya sungguh, susah.

Biarlah saya yang diuji, janganlah ibu bapa saya.

Biarlah saya yang dikata itu ini, janganlah isteri dan anak-anak saya.

Biarlah saya yang diburuk begitu begini, janganlah ibu bapa mentua saya, mereka semua orang baik-baik.

Biar saya.

Sepanjang 17 tahun ini, kata-kata jahat itulah punca saya jadi kuat. Allah beri saya ujian untuk saya hadap semua ini.

Hari ini, cerita baru.

“Awak kemain ya sekarang, dah ada segala-galanya, status hebat, jadi orang besar, dah jadi sombong.”

Kuangkuangkuang.

Tang mana sombong tak tahulah. Walau kami mengelak berjumpa, asal dengar dia susah, kami akan hantar duit, belikan itu belikan ini. Walau dalam keadaan kami kesempitan, kami akan usahakan.

Namun itulah kehidupan gais. Nak kena kentalkan hati. Itulah ujian yang Allah beri.

Hari ini juga saya tegapkan hati,

Memang ya, ujian itu Allah memang beri benar-benar sesuai untuk kita. Maka kita hadaplah baik-baik.

Yang memang inilah ujian saya. Saya yakin kalian juga begitu. Kita semua ada cerita. Bezanya ialah cerita atau tak ja.

Kawan-kawan,

Kita lelaki, jangan buang masa bertempur benda tak ada faedah. Kita kekal berusaha. Kita “balas” setiap kata-kata dengan hasil berbeza.

Allah izin kita berjaya. Insya-Allah.

Ingat,

Jaga mulut.

Takut berbinasa di dunia,

Neraka balasannya.

Begitulah.

Khairul Hakimin Muhammad

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *