Kisah Orang Menang

Hari itu jam tujuh pagi saya sudah memecut menghala ke Kuala Lumpur, dari rumah melalui beberapa bulatan, kemudian beberapa lampu isyarat antara perkara yang saya tidak seronok. Sudah masuk dan menyelusuri kelebaran lebuh raya barulah ada rasa kacak dengan siput gondang ini. Hari itu saya memecut dengan 120km sejam, al-maklum ada sebuah one two five memberi preng kepada saya, saya kejar punya kejar tak dapat. Kahkahkah. Sampai sahaja di susur UPM / Serdang saya sudah ditinggalnya jauh, saya pun memperlahankan siput dan berlalu bahagia.

Terfikir mahu membeli nasi lemak di Hentian Serdang, jadi saya masuk dan meletakkan motor disitu. Elok sahaja turun dari motor, seorang Pak Lebai melambai-lambai macam mahu minta pertolongan, saya memandang-mandang ke belakang manalah tahu kita ini biasa syok sendiri. Oh memang betul Pak Lebai memanggil saya.

Saya berjalan ke arahnya. Ah sudah, tayar keretanya pancit. Saya pun bertanya ada tak tayar ganti? Katanya tidak ada. Ah sudah, bagaimana nak tolong? Kami menggaru kepala sendiri secara berjemaah. Kemudian tiba-tiba terfikir yang hentian rehat ini boleh dimasuki oleh mereka yang dari UPM.

Saya mundar-mandir disitu untuk meminta pertolongan, akhirnya seperti biasa mamat motor juga yang berhenti. Saya maklumkan yang kereta pakcik ini dari arah sebelah sana dan agak susah nak bawa. Mamat motor bernama Azlan ini sungguh baik hati. Katanya dia akan cuba bantu seboleh mungkin.

Saya dan Pak Lebai tadi menikmati nasi lemak sebungkus dua sambil menanti Azlan datang, he he saya seorang sahaja dua bungkus, Pak Lebai hanya satu bungkus. Kami bersembang beriya. Orang sekeliling mungkin beranggapan beliau adalah ayah saya memandangkan kami bersembang macam di rumah, kuat kemain Pak Lebai ni cakap, dia ni bilal agaknya.

Kami memulakan sembang dengan pertanyaan demi pertanyaan dari Pak Lebai, saya jawab sahaja mana yang boleh, dah kahwin? Anak berapa? Duduk mana? Ayah orang mana? Emak orang mana? Dan paling best ialah bila saya sebut saya pernah tinggal di Kelantan, beliau sambut jawapan saya itu dengan segala cerita mengenai Kelantan. Saya pun terus menggunakan otak saya yang separuh hebat ini untuk mencatat segala isi hasil dari perbualan ini.

Antara isi penting yang beliau cakap ialah, beliau anak Pasir Mas, Kelantan. Orang Pasir Mas cantik-cantik katanya. Ya saya memang akui, sebut sahaja Pasir Mas memang terus teringat Neelofa. Neelofa ini memang penyelamat keadaan, kalau tidak yang muncul sokmo di fikiran sebelum itu ialah Abang Ibrahim Ali, wakakaka. Kenapa orang Pasir Mas cantik? Katanya mereka ini suka makan pulut. Makan pulut boleh buat kulit mulus dan gebu. Oh, orang Pahang juga suka pulut. Patutlah kami semua kacak dan segak.

Isi penting yang ke-dua ialah beliau bercerita tentang kehebatan orang Kelantan yang hidup diluar. Katanya orang Kelantan ini hampir sama dengan orang cina, rajin dan sangat fokus dengan apa yang dibuat. Sebab itu orang Kelantan buat apa sahaja boleh berjaya dengan baik, boleh kata orang Kelantan yang duduk luar hebat-hebat dan mereka ada penyatuan yang tersendiri.

Saya pun memotong Pak Lebai bersembang, “Maksudnya yang duk Kelantan tak hebatlah?”

“hoh demo royak baik sikit wei” kemain Pak Lebai menangkis soalan saya. Jawabnya begini, di Kelantan jarang-jarang keluarga memanjakan anak-anak, mereka sangat terbiasa mendidik anak-anak supaya berdikari, jika berjaya di luar Kelantan maka bawa baliklah kejayaan itu ke dalam negeri. Yang berada dalam Kelantan ialah mereka yang hebat-hebat mendidik anak Kelantan yang semakin berjaya di luar. Anak-anak di Kelantan dari awal lagi sudah dibawa ke kebun, ke pasar dan kemana-mana yang sesuai mengikut pekerjaan emak dan ayah mereka.

Wah jawapan Pak Lebai sangat padu hingga saya bangun dan menambah lagi sebungkus nasi lemak.

Pak Lebai sempat mengusik saya yang makan banyak dan perut yang semakin ke depan. Saya senyum sahaja, dia kata orang Kelantan jarang gemuk. Kalau orang lelaki, solatnya semua di surau atau masjid. Orang perempuan solat di rumah, biasanya emak akan bising kepada anak-anak lelaki untuk tak beri solat di rumah, semua kena pergi ke surau masjid. Kena bergaul dan banyak masa di rumah Tuhan. Di rumah Tuhan ramai orang baik-baik dan berkawan dengan orang baik-baik semestinya membuahkan aktiviti yang baik-baik. Saya tenganga dan terus bertanya apa kena mengena dengan gemuk?

Dia kata sebab itu tak sempat nak gemuk. Banyak bergerak. Bila selalu ke surau, masjid jadi banyak masa dengan Tuhan. Tak banyak masa untuk makan dan melepak-lepak. Ada sahaja masa terluang digunakan dengan sebaiknya. Sebagai contoh mereka orang Kelantan ini sangat suka berniaga, sangat suka berkebun, sangat suka memancing, malah untuk menonton television amat jauh sekali, “sebak tu Pas menang sokmo!, tv tipu belako!” katanya berseloroh. Saya rasa mahu berhenti makan sahaja waktu itu. Memang ya saya memang jika balik ke rumah, menonton tv dan mengadap laptop sahajalah kerjanya. Hu hu hu

Saya semakin tidak sedap hati, berjanji dengan bos kena sampai sebelum jam sembilan pagi di Damansara, jam sudah 8.10 minit. Kejap-kejap saya lihat jam dan mula resah.

Pak Lebai memandang saya dan senyum. “nok gi doh ko?” tanyanya. Saya jawab ya. Dia menghulur salam dan saya sambut dan kata tak apa saya tunggu sekejap lagi. Kesian Pakcik. Dia angguk.

Pak Lebai memberi soalan paling akhir, tanya beliau kepada saya berapa helai saya mengaji setiap hari. Saya tunduk dan senyum kelat. Beliau senyum dan bercerita tentang orang Kelantan jarang-jarang tinggal Quran. Dia bangga anak-anak dia hampir semua mengaji sekurang-kurangnya satu muka satu hari. Saya memandang sayu ke wajahnya. Memang betul ada yang tak baik, nakal, jahat, tetapi hak tu kita letak tepi, kita belajar yang baik-baik. Katanya lagi semua negeri ada kelebihan masing-masing, tetapi dia bersyukur Tuhan beri dia jadi anak Kelantan, ada tok guru dimana-mana daerah, kawasan, jajahan, nak belajar agama semua tempat ada. Seronok katanya.

Azlan pun sampai dengan sebiji kereta lain yang mengikut. Kami beramai-ramai melihat tayar Pak Lebai, mereka bersembang dan akan menukar tayarnya terus. Pak Lebai mengeluarkan duit berkepuk dari poket dan memberi kepada Azlan (mungkin suruh beli tayar agaknya). Humak aih saya tak tanya-tanya dari tadi beliau ini kerja apa.

Kami bersalaman, Pak Lebai meletakkan not RM50 di tangan saya secara sorok-sorok. Saya punyalah segan Subhanallah! Puas saya tolak, tetapi dia beri juga, katanya rezeki dan jangan tolak. Sempat dia berseloroh, inilah orang Kelantan, pemurah! Saya ketawa sendiri.

Entah siapalah Pak Lebai ini, nama pun saya tak tanya. Ikutkan beliau hanya bawa Iswara lama. Untungnya saya hari itu dapat berjumpa dengan Pak Lebai ini. Bila sudah sampai ke pejabat, sibuk sana sini saya lupa sekejap kejadian ini. Kini bila sudah balik ke rumah, saya terfikir entah-entah Tuhan sedang rindukan saya. Jadi pertemukan saya dengan Pak Lebai ini.

Fikir punya fikir tak tahu juga siapa orangnya, dengan serban putih bersih, baju melayu juga bersih pastinya dia bukan sebarang orang. Banyak input saya terima, paling saya akui ialah bab Al-Quran. Memang saya akui saya perlu dekatkan diri lagi dengan Quran.

Saya bukan orang Kelantan, tetapi mendengar kisah Pak Lebai ini saya rasa mahu tiru gaya didikan dan asuhan dari orang Kelantan. Hebat.

Kawan-kawan,

Menyantuni orang tua yang sebaya ayah kita itu syurga, dan lihatlah hadiah Tuhan kepada kita bila kita bantu orang tua yang dalam kesusahan seperti ini. Bukan sekadar saya dapat RM50, tetapi hadiah pesanan dan nasihatnya pasti saya akan ingat sampai mati.

Syukurnya saya. Alhamdulillah.

Terima kasih Allah.

Khairul Hakimin. Muhammad,

Peminat Nombor Satu Nasi Lemak Hentian Serdang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *