Perkara paling perit yang berlaku tahun ini bukan tentang nak selesaikan hutang, bukan juga tentang naik turun mahkamah, bukan juga hal ditinggalkan, difitnah, diburukkan, dikecam di media sosial atau apa-apalah.
Ia adalah kehilangan yang tak ada ganti,
patahnya, hancurnya, pedihnya,
tak ada apa boleh ditukar-tukar sejukkan hati.
Sekang, asal pulang aja ke Mentakab, suasananya dah lain. Emak abah akan ulang-ulang tanpa henti baiknya Alin. Berkisahlah semua orang tentang apa dia suka, apa dia buat, apa dia pernah beri kepada kami semua. Bagaimana dia menyantuni emak abah tentang kemasan rumah, bawa ke sana ke mari tolong ke pasar, hantar dan abah atoknya ke masjid solat jumaat, ada aja kisahnya.
Orang baik. Lihat kembali semua gambar-gambarnya, sungguhlah, cerianya Alin ada gembiranya sebuah rumah. Apabila pulang, cahayanya ada, sinarnya besar, redupnya terasa. Itulah rumah.
Beruntung emak abah ajar kami menjaga anak-anak saudara seperti anak sendiri, hilangnya itu adalah seperti hilang segalanya. Allah ambil awal, nanti-nanti kami menyusul, yang bakal sambut kami rupanya yang terbaik di kalangan kami.
