Hari ini abang masih bekerja. Ada 2 personal coaching dan ada meeting tentang imej. Yelah, kata dah public figure. Kahkah. Jadinya dari terlupa nak up resepi, baik abang kasi siap-siap pagi ini.
Kau orang jika beli ikan patin, dah tentu masak asam tempoyak sahaja kan? Tak pun kalau dah boring sangat, goreng sahaja garing-garing, sedap juga. Tak apa, kali ini kita buat asam pedas. Pahang stail. Cewah. Sedap woih.
Asam Pedas Ikan Patin.
Bahan-bahannya ialah:
1-2 ekor ikan patin (lebih kurang 10 potong)
2 biji bawang besar
3 inci kunyit hidup
5 biji cili merah
1 genggam cili padi yang merah
1 ikat daun kesum
2 kuntum bunga kantan
1 senduk asam jawa
1 sudu besar lada hitam
Secubit garam.
Cara-caranya kau tengok gambarnya ya.

Kau kisar bawang, lada hitam, cili merah, cili padi, kunyit hidup dengan 1/2 cawan minyak masak sampai dia jadi halus begini.

Letak sedikit minyak di kuali emak kau.

Tumiskan bahan. Ya kau bubuh minyak tadi kau buka api tak? Inilah jadinya bila arahan tak lengkap. Hangin je aku dia tak panas. Lupa buka api.

Dah pecah minyak, kau buh terus bunga kantan yang dibelah tengah. Ikut kau lah nak belah macam mana.

Kemudian masukkan daun kesum. Kau jangan campak seikat gitu aja. Hari itu masak sambal, ada yang PM “abang, daun kesum seikat tu campak gitu dengan batangnya ka?” Aduhlah, rasa nak menangis tepi dapur je.

Ambil asam jawa, kau cairkan dengan secawan air.

Buh dalam kuali tadi. Kalau masih pekat, kau ulang lagi gaul asam jawa itu dengan air sekali lagi.

Dah lawa dah kuahnya, kau masukkan ikan. Bubuh susun lawa-lawa sebab bila dia dah dimasukkan dalam kuali, dah tak boleh nak kacau beriya. Ikan senang hancur woih.

Sudah menggelegak, ikan pun dah masak, kau buh garam.

Siap. Kau dah masak nasi ke belum? Haa selamat mencuba!
