24hb Julai 1981 Buya HAMKA meninggal dunia. 3 bulan selepas itu saya lahir. Kami tak sempat berjumpa, tak pernah bersua tak juga pernah tahu kehidupan masing-masing.
Sekitar 10-12 tahun selepas itu barulah saya mengenali Buya melalui tulisan-tulisannya. Bermula dengan Di Bawah Lindungan Kaabah kemudian beralih kepada Tenggelamnya Kapal Van Der Vick, bersambung dengan Kenang-Kenangan Hidup yang tebalnya Tuhan aja yang tahu.
Semua itu koleksi buku abah saya sendiri.
Buya tidak sekadar menulis.
Buya menghasilkan karya.
Itu bezanya.
Keberhasilan Buya Hamka semasa berpencak dalam kata-kata adalah keindahan. Perenggannya taklah berirama, namun maknanya itu ada melodi.
Buya meletakkan nasihat sebagai paras tinggi dalam mana-mana karya. Malah, pergaduhan, perbahasan, perdebatan, Buya jawab di dalam buku.
Ia boleh jadi sebuah istimewa.
Boleh jadi juga sebuah pergerakan yang ditakuti sesiapa.
Masuk sekolah menengah, saya cuba menyertai pertandingan menulis manuskrip Tokoh Pahang di bawah anjuran Muzium Negeri Pahang.
Almarhum Datuk saya, Haji Wan Abdullah Bin Haji Wan Chik seorang Tok Penghulu Mukim Telang (Kuala Lipis). Malah almarhum juga antara yang menyerahkan beberapa koleksi peribadi kepada Muzium Pahang.
Saya cuba menulis, membuat sedikit kajian lapangan lalu hantar. Itu pengalaman awal saya menulis. Umur 16 tahun, tingkatan 4. Tahun 1997.
Saya dipengaruhi oleh Buya seawal itu. Masuk aja kolej, sambung ke universiti, membuak nak dapatkan koleksi buku-buku Buya. Sampailah ke alam pekerjaan, mula ke luar negara, mencari naskhah demi naskhah ke Indonesia.
Bayangkanlah besar pengaruh penulis ini sampai ke tahap bukunya juga dicetak rompak di mana-mana.
Hinggalah akhirnya saya nampak Puan Saadiah Ali sedang berusaha mendapatkan koleksi Buya dan dijadikan sebagai hak terbitan di Malaysia.
Saya bersyukur amat. Saya kira saya dah kumpul hampir 90% naskhah Buya Hamka. Sebut aja setakat ini saya ada insya-Allah.
Saya pernah ke beberapa gedung, rumah karya dan khutub khanah di Indonesia, duduk berjam-jam dari pagi hingga tamat sesi hari, semata nak dengar suara Buya. Ada berbagai rakaman Buya tentang agama, nasihat dan sebagainya.
Pernah juga mencari artikel, tulisan kecil, atau apa sahaja rumusan, kesimpulan atau koleksi Buya menulis surat, semua saya lalui semata nak baca.
Saya penggemar karyanya. Jadi tak perna puas membaca.
Ketagihan saya terhadap tulisan Buya adalah nikmat. Saya suka.
Buya pernah sebut “Mengerjakan apa kau sukai tidaklah penting, Yang penting ialah kau menyukai apa kau kerjakan.”
Ini pergaduhan dalam diri saya. Saya nak buat apa saya suka aja. Tapi dalam tempoh hidup nak sampai ke umur 45, rupanya saya kena berbuat aja, saya kena suka apa saya sedang buat dan saya akan bahagia.
Susah. Namun terletak seronok di hujung cerita.
Menulis ini bukan tentang orang menyukai karya. Ia tentang bagaimana karya itu beri manfaat kepada orang lain.
Ia, jasadnya, raganya, jiwanya sudah berpulang kepada Allah. Namun pesanannya hidup hingga hari ini.
Begitulah.
Khairul Hakimin Muhammad,
Madinah Al-Munawwarah.
