Pemergian Almarhum Alin

Akhirnya ada jenazah dibaringkan di ruang tamu rumah emak. Banyak kali kami bersembang tentang ini, kami sekeluarga, anak-anak emak abah belum diuji lagi dengan kematian sesama kami. Kami sentiasa sebut siapalah yang akan jadi pertama dan kami semua tak tahu bersedia atau tak.

Ya Rabb.

Sering aja ia menjadi ketakutan. Selalu aja apabila disebut, ia akan buat telinga dan mulut berdiam. Biarkan aja apa sahaja membunyi sampai sepi. Tak tahu apa. Biarkan aja berlalu kerana tak pernah bersedia. Diamnya itu seolah boleh dengar bunyi degupan sendiri.

Hari ini, ia bertandang ke rumah emak abah.

Cemas. Debar. Segala bentuk haru itu tak tahu nak digambarkan bagaimana. Ia datang petang tadi.

Bergetarlah badan.

Menggigil-gigil tak tahu nak berbuat apa.

Berita itu tak tahu bagaimana nak disambut.

Ia wajib diambil, lalu diserah dan diurus.

Walau sedih bukan kepalang, ia wajib diselesaikan sampai siap.

Yang paling disayang,

Paling mudah membantu,

Paling suka senyum,

Paling senang memberi,

Paling disebut-sebut sana sini dialah yang ada selalu dengan emak abah kami,

Paling juga ringan tulang, asal nampak, dialah yang laju menolong.

Hari ini, dia yang pergi.

Baru aja sambut hari lahir ke-23 pada 4hb November.

Lagi pula 24hb November ini akan naik ke pentas mengambil skrol ijazahnya di UKM.

Saya baru aja bertanya kepadanya bulan lepas “Alin, kenapa tak mohon lagi kerja?”

Almarhum jawab “ala Paktam, lama sangat dah belajar, nak duduk lama-lama rumah wan ni, malas nak keluar-keluar.”

Almarhum kemalangan. Duduk diam-diam aja dalam kereta, menuju pulang ke rumah emak kami selepas ambil gambar pre-konvo.

Sedang dalam perjalanan, ada kenderaan menderu selajunya lalu begitu sahaja menghentam sisi kanan. Maka adik saya, juga 3 lagi yang menaiki kereta sama, terlibat dalam kemalangan ini.

Salah seorangnya anak saudara yang kami kasihi,

Anak kepada abang kami yang ke-2. Lagi 3 cedera. Ada patah rusuk, ada patah tangan.

Wan Adlin Nadilah binti Wan Nasrul Hakim, dijemput Allah di tempat kejadian.

Wahai Allah,

Yang Maha Penyayang,

Almarhum sangat baik.

Sangat-sangat baik orangnya.

Paling santun,

Paling berbuat orang lain bahagia,

Paling senang mencipta ceria,

Maka Ya Rabb,

Santunilah dia.

Santunilah dia.

Santunilah dia.

Tak ada lain kami pohon, beri dia syurga,

Kelapangan dan kemudahan.

Kesemua kebaikan,

Serahlah kepadanya.

Dia sangat baik.

Ampuni dosanya,

Ampuni dosanya.

Ampuni dosanya.

Berilah dia keredaan wahai Allah yang maha penyayang lagi maha mengasihani.

Amin.

Kami semua akan menyusul wahai Alin sayang,

Tak tahu bila, tapi pasti kami akan ikut.

Pemergian Alin akan buat rumah ini sunyi.

Ummi dan Abah akan terngiang ketawa kamu.

Atok dan Wan akan rindu suara kamu.

Kami pula akan terbayang kebaikan kamu.

*****

Jenazah kini di rumah emak kami.

Insya-Allah esok 8.00 pagi akan diurus dan dimandikan di Masjid Taman Saga, Mentakab.

Lalu disolatkan dan dikebumikan.

Doakan semua urusan terakhir almarhum, Allah mudahkan.

Amin.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *