Tercapai juga hasrat saya untuk buatkan umrah untuk anakanda Alin. Saya duk berdoa sebanyaknya mohon sangat Allah izinkan, saya benar-benar nak laksanakan.
Arwah meninggalkan kami sekitar 6 bulan lepas. Arwah menjadi mangsa kepada 2 kereta yang berlumba lalu terbabas dan menghentam kereta adik saya. Arwah Alin ada di dalam kereta tersebut dan meninggal dunia di tempat kejadian.
Waktu itu arwah dalam perjalanan balik selepas mengambil gambar pre konvo. Ya hampir sangat ke tarikh konvokesyennya di UKM.
Insan baik ini, Allah ambil.
Tak sakit, tak salah apa.
Cuma Allah kata dia akan dilanggar tanpa buat silap apapun. Hanya berlalu untuk pulang.
Itu aja.
Lalu Alin pergi.
Tinggalkan kakaknya,
Tinggalkan adik-adiknya.
Tinggalkan abah dan uminya.
Tinggalkan pakcik dan makciknya,
Sepupunya.
Serta tinggalkan atok dan wan.
Kesannya sangat besar. Bagi kami yang rapat dengan anak-anak saudara, rasa ia berat ya amat.
Tak tertanggung. Bebannya terlalu penuh. Seolah tak boleh nak diangkat sendiri.
Hingga sekarang, atok dan wan serta abah dan umminya masih ke kubur setiap hari menziarahi Alin.
Rumah baru Alin.
Kediaman baru Alin.
Bezanya ialah setiap kali ziarah, kami menitis air mata.
Sama juga semasa melaksanakan umrah buat Alin tadi.
Begitulah.
Khairul Hakimin Muhammad,
Semoga Allah hadiahkan syurga buat Alin.
