Saya dah pergi banyak kelas.
Belajar aja. Perlahan-lahan buat.
Saya buktikan saya lebih tahu dengan berbuat. Tak buat, takkan nampak apa kita tahu.
Sebab itu saya sangat menghargai karya.
Buruk ke, bagus ke,
Teruk ke, apa ke, saya hargai kerja yang dibuat.
Baru bermula, tapi berbuat.
Saya kagum.
Baru nak cuba, tapi berusaha,
Percayalah saya suka.
Benda ini saya berkali-kali sebut ke kawan-kawan,
Kita sama-sama bermula kosong hingga kita pernah dapat menjaga karya dan jadi orang media kepada orang-orang utama dalam negara.
Saya ingat lagi masa masuk kelas menulis novel bersama salah seorang editor kepada JK Rowling di Scotland. Belajar struktur demi struktur.
Ayat beliau “semua karya adalah baik untuk orangnya. Ya, semua karya bukan untuk semua orang, tapi sesiapa yang berkarya, hargailah.”
Selepas itulah saya suka melihat orang berusaha.
Masuk pula kelas Chapter Yusuf. Kelas menulis dan membesarkan karya menggunakan Surah Yusuf di London.
Juga ke kelas Story bersama Robert McKee. Kelas paling dikejar oleh penerbit filem dunia seperti Steven Spielberg, Pixar dan sebagainya.
Ya saya pernah hadiri kelas-kelas tersebut.
Ya, sebab itu jadi sangat menghargai usaha orang.
Kadang ejaan salah, tegur ejaan aja.
Nak tegur pun, diam-diam aja.
Kadang salah kod warna, tegur diam-diamlah.
Kadang buku dah terbit,
Dah cetak, dah tersusun di kedai buku,
Saya beli, terjumpa ejaan salah, tersalah itu tersilap ini. Tenang beritahu penerbit. Bukan kecoh hingar.
Bab dia nak repair atau tak, tak apalah. Kita dah selesai tugas kita.
Sama juga dengan gambar, video, muzik video, iklan, montage, filem pendek atau apapun, tenang ajalah, bukan kita seorang pandai dalam dunia ini.
Ada sangat ramai lagi.
Dalam mana-mana kelas kreatif di Eropah, paling ramai hadir ialah dari India dan Indonesia. Sebab itu mereka menghasilkan karya yang sentiasa luar kotak. Cara ambil, cara memilih intonasi, melodrama dan susun atur plot, sentiasa buat kita ternganga dan wah.
Ini bukan membeda atau nak banding. Sekadar meluah rasa aja. Orang kreatif kerjanya diam-diam, lalu berhasil. Kerjanya pada waktu orang lain tidur. Tak nampak prosesnya. Jadi mudah untuk dikata-kata.
Orang dalam industri kreatif ini sering aja dikuis, sering aja disisih, dikata paling tidak ada kelulusan pendidikan tinggi, bodoh dan tak habis sekolah, sebab itu memilih di sudut ini.
Sebab itu hanya orang ini faham orang ini.
Walau kita ada aja ijazah, ada aja sijil berbakul,
Sudahnya masuk dalam padang ini, siap sedia aja ditolak guna kaki, disepak-sepak ke kanan kiri.
Begitulah.
Khairul Hakimin Muhammad,
Sudah di sini, takkan berpaling lagi.
