Masa saya ada studio masakan di Bandar Seri Putra ada 1 kejadian besar yang susah juga nak dilupakan.
Saya baru beli ketuhar waktu itu, jadi saya buka bonet belakang untuk angkat kotak besar tersebut. Saya pakai beg saya dulu (dalamnya ada laptop), kemudian baru saya angkat. Ada lagi beberapa peralatan bakeri saya tak boleh angkat sekaligus, saya biarkan sekejap dengan bonet terbuka.
Studio di tingkat atas, maka saya naik perlahan-lahan dengan tangan penuh angkat kotak ketuhar tersebut. Letak dalam studio, saya kembali turun.
Masa saya turun, ada seorang lelaki sedang geledah bonet kereta saya, saya pun berlari dan terus pegang bahu dia tanya dia buat apa.
Dia kata itu kereta dia. Saya hangin saya kata apa menda itu kereta saya. Dia dah letak beberapa barang dalam poket dia. Saya tanya nak jual ke mana semua tu alat dapur je.
Dia minta maaf, keluarkan semula semua alat-alat tu (ada spatula, whisk kecil, beberapa pipe untuk hiasan kek dan beberapa sudu lawa sikit untuk studio). Dia terus letak semula dalam bonet.
Saya cakap dengan dia kalau nak makan, kasitau, sebelah tu kedai makan aja. Dia geleng. Saya tanya nak pakai duit berapa sampai nak kena ambil barang orang ni. Dia garu-garu leher dia. Garu-garu badan dia.
Dia cakap dah seharian juga tak makan. Dia student sekian-sekian.
Saya tanya itu pakai helmet, biasa orang ada motor mesti ada duit zaman belajar ini.
Dia cakap “tersilap sikit belanja bulan ni.”
Saya tarik dia ke kedai makan Kak Zaleha betul-betul dekat amat dengan tempat saya letak kereta tu.
Saya minta dia ambil nasi, lauk bagai, order air terus saya bayarkan.
Saya beritahu tingkat atas saya buat studio. Nak kerja part time kasi tau. Saya cakap jangan cuba-cuba mencuri, perbuatan itu akan jadikan kita ketagih. Dia kata berulang kali itu kali pertama dia buat.
Dia ambil nombor saya. Misscall saya pun save juga nombor dia.
Tapi dia tak pernah datang dah selepas itu. Sekalipun dia tak pernah hubungi atau jumpa. Hilang begitu sahaja.
Semalam di Threads, dia DM saya.
Tanya ingat lagi dia tak.
Saya cakap tak. Hahahaha jujur tak.
Dia cakap terima kasih tangkap dia masa dia cuba belajar mencuri dulu. Masa tu dia sangkut takda duit nak makan je, dia rasa dia boleh jual apa dia curi nanti dia ada duit dia kata dia akan usaha ganti. Tapi dia terus kena tangkap dan menyesal.
Sekarang dia kerja sebagai cikgu. Dia cari saya bertahun tapi tak jumpa dan masa nampakndi Threads dia yakin itu saya. Apabila dia cerita kisahnya, oh saya ingat.
Dia cakap 1 benda yang best,
“Terima kasih bang, saya jadi cikgu sebab abang kot, bayangkan kalau saya mula mencuri. Saya makan hari abang belanja saya tu buat saya fikir ramai ja orang baik dalam dunia ni. Kenapa nak jadi jahat?”
Dia beritahu biarlah susah sikit janji jadi baik. Saya setuju.
Alhamdulillah. Tak sangka, rasanya lebih 10 tahun dah kisah ni. Alhamdulillah
