Kita Nak Terima Dengan Cara Apa

Malam tadi masa pulang ke hotel selepas sesi ziarah luar Masjid Nabawi saya berjalan seorang diri, elok keluar dari pagar 339 ada seorang pakcik tegur tak jumpa hotelnya. Saya tengok di kad nama, saya pun tak tahu kemudian lekas kasi cari dalam Google. Okey jumpa dan saya bimbing sampailah ke hotel.

Saya bertanya asal mana, duduk mana, pergi dengan siapa.

Beliau jawab asal Alor Setar, duk pun Alor Setar tapi mai seorang. Isterinya sama-sama daftar haji, namun sekitar selepas raya aidilfitri jatuh sakit dan meninggal dunia. Jadi beliau tunaikan haji seorang diri. Dalam beberapa hari ini dah nak berpulang ke Malaysia.

Beliau beritahu “kami dah nikah lebih 50 tahun, Allah ambil tu kita tak pernah bersedia, hari-hari tengok muka dia, dengar suara dia, dia hulur air ke kita, dia siapkan baju kita, dia uruskan semua-semua. Saya kerja semua saya boleh buat, dalam rumah dia yang buat. Saya sesat di Mekah, saya sesat di Madinah semua saya sesat sebab kepala saya duk ingat ke dia. Rasa kosong.”

Berkali-kali dia nak bercerita tapi tersangkut-sangkut kerana tahan nak menangis.

Sampai depan hotelnya, dia kata dekat aja rupanya dengan masjid. Kami bersalaman tapi dia duk ajak minum, saya terpaksa tolak kerana nak balik siapkan editing bagai.

Beliau pegang saya dan cakap “Terima kasih banyak, Pakcik minta sangat nak mati dekat sini, tak tau dapat ke dak. Kalau takdir dapat, jasa adik bantu pakcik moga Allah angkat setingginya.”

Dia peluk saya. Saya pun baliklah ke hotel dengan menangis bagai. Menitik-nitik air mata tak berhenti-henti. Duk cari Ustaz Nawawi tak jumpa. Saya perlahankan langkah supaya tak sampai awal di hotel. Kang orang nampak kita menangis kang pelik pula.

Semua orang ada kisah jatuh bangun.
Semua orang diuji.
Semua orang ada kapasiti tahap bertahan.
Semua orang ada diberi kasih sayang Allah.

Bezanya ialah kita nak terima dengan cara apa.
Bersedih. Berkecewa. Bergelisah bagai.
Semua ada.

Kapasiti kita, Allah aja yang tahu.
Sebab itu beza berbeza tahap ujian kita.
Setiap dari kita diberi ujian mengikut kita.
Allah aja tahu kita ini bagaimana dan apa.
Kita takkan pernah tahu dengan melihat ujian sesiapa.
Kita hanya tahu apabila kita diberi ujian itu.

Begitulah.

Khairul Hakimin Muhammad,
Seperti bulan, berkali-kali ditinggalkan sendirian.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *